Assalamualaikum

QURANUL KARIM

QURANUL KARIM

Listen to Quran

Saturday, 7 April 2012

KURSUS PENYEBARAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) TINGKATAN 1 - 2012
MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

1. MINGGU 1 - TARIKH : 3, 4 DAN 5 APRIL 2012.
                          TEMPAT : PPD KUALA PILAH
                          PESERTA : GURU P.I. DAERAH K.PILAH / JEMPOL / JELEBU

2. MINGGU 2 - TARIKH : 9, 10, 12 APRIL 2012
                          TEMPAT : PKG AMPANGAN
                          PESERTA : GURU PI DAERAH SEREMBAN / PD

3. MINGGU 3 - TARIKH : 16, 17 DAN 18 APRIL 2012
                          TEMPAT : PKG TAMPIN
                          PESERTA : GURU PI DAERAH REMBAU / TAMPIN

SENARAI JURULATIH :

1. Ustaz Kamarulfauzi bin Esa (Ketua)
    SMK Dangi, Johol, Kuala Pilah

2. Ustazah Rosmah binti Abdul Latif (Penolong)
    SMK Seremban Jaya 2, Seremban

3. Ustazah Nurul Azilah (Setiausaha)
    SMKA Dato Haji Hassan Haji Sail, Pedas

4. Ustazah Norhasimah binti Ibrahim
    SMK Tinggi Port Dickson, PD

5. Ustaz Mohd Sahnum bin Md. Yusop
    SMK Dato Mohd Taha, Gemencheh

6. Ustazah Mazlina binti Ramli
    SSNS SMK Za'aba, Kuala Pilah

Wednesday, 28 March 2012


KETUA PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

Tuesday, 31 August 2010

Thursday, 1 October 2009

SINAR ISLAM

Objektif hidup berlandas keredaan Allah
Oleh DR. SAODAH ABDUL RAHMAN

KEPINCANGAN dalam dunia Islam masa kini mempunyai kaitan dengan kelemahan umat mengendalikan urusan hidup mereka. Falsafah atau konsep hidup umat Islam jika tidak dilandaskan kepada keredaan Ilahi boleh menyebabkan umat menjadi lemah dan mudah terperangkap ke dalam kancah kemusnahan. Perselisihan sesama umat Islam dalam arena politik jelas menunjukkan bahwa konsep persaudaraan dalam Islam semakin terhakis dalam sanubari umat masa kini.

Apabila suasana begini wujud maka umat Islam lebih mengutamakan kepentingan diri daripada menumpukan perhatian kepada pembinaan umat dan agama Islam. Suasana begini wujud disebabkan objektif hidup umat Islam sudah terpesong daripada garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Islam mengajar umatnya supaya memahami konsep hidup di dunia ini dan melatih umat Islam supaya berfikir, berbicara dan bertindak demi mempertahankan agama dan masyarakat bukan untuk kepentingan diri sehingga terlupa bahawa setiap gerak-geri dan bisikan hati berada dalam perhatian Allah. Individu-individu Islam yang tidak menjuruskan objektif hidup berlandaskan keredaan Allah adalah orang yang tidak mempunyai personaliti yang mantap.

Mereka sering menonjolkan kepelbagaian personaliti kerana fikiran dan bisikan hati mereka berasaskan kepada kepentingan diri yang berunsurkan material dan kedudukan. Mereka tidak mempunyai kewibawaan diri dan mudah dipengaruhi oleh kenikmatan hidup di dunia sehingga sanggup menggadai maruah agama dan bangsa. Suasana begini merupakan fenomena kehidupan umat Islam masa kini. Setiap umat Islam sepatutnya mempersoalkan diri mereka tentang matlamat, peranan dan destinasi hidup mereka di dunia ini.

Apabila persoalan begini sering berlegar dalam pemikiran mereka maka setiap bisikan hati, daya pemikiran dan pergerakan mereka adalah terkawal. Mereka mampu berfikir secara lebih rasional dan bijaksana dalam tindakan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh itu, Allah SWT sering menyeru manusia terutamanya umat Islam supaya merenung, berfikir, bersabar dan menyerah diri kepada-Nya dalam kehidupan di dunia ini. Umat Islam yang sentiasa menyerahkan diri kepada Allah sanggup mengorbankan kepentingan diri demi agama dan negara. Setiap kegiatan mereka berasaskan kepada niat dan hasrat nurani yang murni. Apabila hati nurani bersih dan daya pemikiran tertumpu kepada keredaan Ilahi maka setiap tindakan boleh menggambarkan bahawa mereka adalah ikhlas. Sama ada dalam tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Rasulullah SAW menegaskan: Setiap amalan atau pergerakan itu berasaskan kepada niat. Ia bermakna, jika niat seseorang itu bersih dan baik maka tindakan dan pergerakannya adalah bersih dan telus. Setiap kegiatan dalam kehidupan sama ada berkaitan dengan keperluan diri atau masyarakat perlu berdasarkan kepada keredaan Ilahi. Jika umat Islam tidak membatasi pergerakan mereka dalam kegiatan berkaitan dengan keperluan diri, maka mereka akan menjadi rakus apabila mendapat peluang tersebut.

Sikap tamak dan rakus tidak dapat dikawal jika niat dan objektif hidup hanya tertumpu kepada kemewahan dan kepentingan hidup di dunia sahaja. Individu sebegini jika melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan kenegaraan, tidak akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara sempurna kerana mereka beranggapan jawatan yang disandang merupakan punca rezeki yang boleh memperkayakan diri. Oleh itu sistem pentadbiran dan kepimpinan menjadi lemah kerana niat dan objektif mereka tersasar daripada konsep dan falsafah kehidupan sebagai hamba Allah yang memegang amanah masyarakat dan negara.

Jika arena politik dianggap sebagai satu cara untuk mendapat kuasa, kedudukan dan kekayaan, maka umat Islam yang tidak memahami konsep dan falsafah hidup berlandaskan keredaan Ilahi ini akan 'berjuang' tanpa memikirkan kepentingan agama dan bangsa. Kepuasan dan keseronokan dalam pertarungan politik sesama umat Islam menjadikan mereka buta memahami konsep "kemenangan" sebenar. Dalam hal ini, kita perlu fahami ungkapan yang "menang menjadi arang dan kalah menjadi abu."

Umat sepatutnya memahami bahwa kehancuran negara-negara Islam berpunca daripada perselisihan politik sehingga mengheret kuasa asing mencampuri hal ehwal dalaman negara. Sehubungan itu, umat Islam di negara ini sepatutnya mengambil iktibar daripada negara Islam lain. Kemenangan dalam pertarungan politik kadangkala tidak boleh dianggap sebagai 'kemenangan'. Mungkin kejayaan itu merupakan satu ujian. Kegagalan dalam perjuangan politik pula mesti dianggap sebagai satu pengajaran. Ia penting supaya setiap ahli politik bermuhasabah tentang kelemahan diri bagi menyediakan diri dengan strategi yang lebih kukuh dan memperbaiki matlamat atau objektif perjuangan berlandaskan keredaan Ilahi.

Tuesday, 29 September 2009

SINAR ISLAM

Jangan terperangkap akibat kejahilan

DALAM sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda, Barangsiapa yang mengada-adakan yakni membuat-buat sesuatu dalam urusan agama kita yang tidak terdapat ajarannya dalam agama, maka hal itu wajiblah ditolak (yakni tidak boleh diterima atau ditiru).

Hadis tersebut memperingatkan umat Islam supaya jangan mudah terpedaya dengan bidaah yang menyimpang daripada ajaran agama Islam. Tetapi malangnya sehingga ke hari ini masih ada umat Islam terutamanya orang Melayu begitu mudah terpengaruh dengan ajaran yang bertentangan dengan agama Islam.

Anehnya, ada amalan dalam ajaran itu yang sah-sah tidak masuk akal, termasuklah solat boleh ditunaikan dengan niat sahaja atau tidak perlu ke Mekah untuk menunaikan haji. Walaupun ia tidak logik tetapi disebabkan pelaksanaannya mudah, maka ramailah umat Islam yang terpengaruh. Mereka sudah tidak mahu lagi memikirkan sama ada ajaran atau suruhan yang diperkenalkan itu betul atau tidak. Akibat daripada kejahilan ini, maka muncullah individu yang boleh dianggap sebagai 'makhluk perosak' kepada kesejahteraan umat Islam, apabila mengaku dirinya nabi dan sebagainya.

Walaupun dakwaan seumpama itu boleh dianggap dilakukan oleh orang yang tidak waras sahaja tetapi masih ada juga umat Islam yang terpengaruh. Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan kehairanan kepada kita apatah lagi kalau yang terpengaruh tersebut terdiri daripada mereka yang berpelajaran tinggi. Mungkin ia berlaku kerana ilmu agama mereka terlalu tipis atau mungkin juga dalam keghairahan untuk mencari ilmu itu mereka tidak mengkaji terlebih dahulu kebenaran. Apa pun mereka tidak seharusnya menjadi orang yang bodoh kerana di dalam Islam sudah terdapat tunjuk ajar dan pedoman agar bagi mengelakkan kita terjerumus dalam ajaran yang menyeleweng daripada Islam.

Rasullullah SAW bersabda:
Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah kitab Allah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk iaitu petunjuk Nabi Muhammad SAW dan seburuk-buruk perkara (ibadat) iaitu yang diada-adakan dan setiap bidaah (perkara baru yang menyalahi al-Quran dan sunnah Nabi) adalah sesat.

Tuesday, 22 September 2009

RAMADAN 1430H/2009M telah pun pergi meninggalkan kita. Kedatangannya kita sambut dengan penuh syukur dan gembira, tetapi pemergiannya tiada siapa yang dapat menghalangnya.
Berbahagia mereka yang telah meraikan tetamu agung ini dengan sempurna dan malang sekali bagi mereka yang telah mengabaikan dan gagal menunaikan hak-haknya.

Kini kita berada di hari-hari awal bulan Syawal yang begitu selari dengan kemenangan umat Islam menentang hawa nafsunya sendiri lantas kembali kepada fitrah murni acuan Ilahi. Semoga kemeriahan sambutan berpanjangan Aidilfitri seperti yang telah menjadi suatu tradisi dalam masyarakat kita tidak sampai memadam kesan positif madrasah Ramadan pada diri kita.
Ada diriwayatkan bahawa sesetengah para Salaf al-Soleh akan terus mengenang Ramadan yang lepas selama enam bulan bersama doa, agar amalan mereka diterima manakala buat enam bulan seterusnya mereka berdoa dan berharap agar dipertemukan dengan Ramadan yang mendatang.
Mengambil semangat itu, pada minggu awal Syawal ini, ruangan ini ingin memetik beberapa peringatan tentang natijah Ramadan yang telah disentuh oleh salah seorang tokoh ulama dan pendakwah unggul mutakhir ini, Sheikh al-Habib Umar Hafiz dari Yaman, dalam ucapan sempena Syawal yang disampaikan olehnya beberapa tahun yang lepas.

Dalam ucapannya beliau menegaskan dua faedah utama yang sepatutnya diraih daripada bulan Ramadan iaitu:

1. Mengambil Kekuatan Daripada Sumber Utama
Kita sentiasa memerlukan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup. Umat Islam sebagai umat pilihan dan umat risalah sentiasa berada dalam keadaan tercabar yang memerlukan unsur kekuatan.
Ramadan mengingatkan kita dan melatih secara amali agar sentiasa mengambil kekuatan daripada sumbernya yang utama iaitu Allah SWT.
Usaha kita menerusi puasa dan qiam di bulan Ramadan, mengeluarkan sedekah fitrah dan segala ibadah yang lain semuanya merupakan perkara yang menghubungkan kita dengan Tuhan Maha Pencipta SWT.
Ramadan mengajar kita untuk tidak menjadi enemy-centric, terlalu tertumpu kepada musuh dan ehwal mereka, tetapi menumpukan kepada sumber kekuatan kita sendiri di mana perkara yang teratas dalam senarai itu adalah hubungan kita dengan Tuhan.
Kita tidak boleh hanya berterusan memperkatakan tentang kekuatan orang kafir serta segala fenomena kezaliman, penindasan dan permusuhan daripada segenap sudut, jauh dan dekat.
Semua perkara ini tidak sepatutnya membantutkan usaha dan cita-cita utama kita. Juga tidak boleh menjadi penghalang kita ke arah perlaksanaan proses pemulihan dan kebangkitan yang sebenar di atas landasan yang sahih.
Ini hanya dapat dilakukan menerusi keprihatinan kita terhadap sifat-sifat yang terdapat di dalam diri kita dan istiqamah dengan amalan diredai oleh Allah SWT. Dengan pendekatan inilah, kita dapat menyingkatkan jarak dan tempoh perjuangan.
Usia kita yang merupakan sebaik-baik bekalan dalam perjuangan mungkin akan lenyap begitu sahaja sekiranya kita hanya sibuk beranalisis dan membahaskan realiti. Terlalu tertumpu kepada idea, cadangan dan analisis dan membesarkan sesuatu peristiwa dalam kehidupan dan alam ini boleh melekakan daripada menyedari hakikat keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT lalu bergegas menuju dan bergantung kepada-Nya.
Maka jadilah seperti apa yang terjadi hari ini. Kita dapati berapa ramai daripada kita - orang Islam - yang alpa daripada kewajipan mereka dalam usaha menguatkan hubungan ini dengan kekuatan yang sebenar, Allah SWT.
Mereka lalai tentang hubungan dengan Allah SWT termasuk dengan mengambil mudah perkara-perkara fardu, terjebak dengan segala yang haram, mengabaikan wanita dan keluarga sehingga mereka terjatuh ke lembah kemungkaran dan melanggar syarak yang mulia.
Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya telah pun terkeluar daripada manhaj Rasulullah SAW dalam urusan kekuatan dan kebangkitan Ummah. Sedangkan Allah SWT dengan jelas menggariskan dua rukun kebangkitan termasuk dalam firmannya yang bermaksud, dan Allah SWT menjanjikan bagi mereka yang beriman di kalangan kamu dan beramal soleh bahawa akan menjadi khalifah di muka bumi. (al-Nur:55)
Keprihatinan terhadap amalan dan aspek amali agama akan mendirikan rukun kedua kebangkitan ummah dalam kehidupan selain rukun pertama iaitu keimanan.
Berbekalkan fahaman ini, agenda menyucikan hati daripada hasad di antara ahli keluarga, jiran dan kawasan kediaman dan masyarakat seluruhnya menjadi suatu agenda yang besar dan strategik.
Menjauhi hasad dan apa yang berkaitan dengannya seperti dengki, takbur, ujub, buruk sangka, atau perkataan yang sia-sia turut naik nilainya menjadi agenda utama dan arus perdana.
Bukankah pada hakikatnya, perkara ini begitu banyak berlaku dalam kehidupan kita sedangkan ia adalah antara perkara-perkara yang melemahkan iman.

2. Menjauhi Punca-punca Kekalahan
Menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang mengundang kekalahan bererti menjauhkan diri daripada perkara-perkara haram yang telah ditentukan Allah SWT mengikut sunnah Ilahi akan membawa kepada kelemahan dan kekalahan.
Antara faktor-faktor kekalahan ialah hati-hati yang saling bercanggah dan berselisihan akibat jarum suntikan syaitan ke dalam hati manusia melalui perkara-perkara yang berkaitan dengan perbezaan mazhab, pandangan, ideologi antara orang Islam atau perkara yang melibatkan assabiah.
Selain itu, ketidakfahaman terhadap permasalahan mazhab-mazhab muktabar dalam syariat dan sesungguhnya, perbezaan ini merupakan daripada sumber yang satu. Dan ia telah diterjemahkan daripada luasnya syariat ini oleh ahli-ahlinya yang berhubung dengan sumber yang satu.
Dan ketika lenyapnya kesedaran dan kefahaman ini, ia akan diganti dengan kelemahan pandangan, kemudian akan muncul pula dakwaan yang akan dinisbahkan kepada ahli-ahli mazhab, pandangan dan pengikut mereka oleh golongan yang memusuhi mereka.
Semua faktor ini merupakan antara faktor-faktor penyumbang kepada perselisihan dan perbalahan yang akan menjauhkan kemenangan daripada umat Islam. Allah berfirman yang maksudnya, dan janganlah kamu berselisih yang menyebabkan kamu gagal lalu hilanglah kehebatan kamu (al-Anfal: 46)
Semuanya ini akan menambah lagi musibah dan peristiwa pahit yang berlaku ke atas umat Islam sebagaimana yang mereka keluhkan. Maka, bagaimana boleh menjadi ubat dan penawar sedangkan dalam masa yang sama kita hanya sibuk dengan bercakap banyak, asyik menganalisis, alpa daripada sifat dan amal-amal soleh.
Demikian juga, perbezaan itu merupakan antara faktor penyumbang kepada kekalahan umat Islam, iaitu perbezaan dalam permasalahan far'iyyat dan juz'iyyat (cabangan dan pecahan) sehinggakan seolah-olah ia adalah permasalahan pokok (usul) dalam agama.
Ia juga makin menyemarakkan lagi api permusuhan dalam kalangan umat Islam yang memerlukan ruang yang lebih besar untuk dibahaskan secara tuntas.
Peringatan al-Habib Umar dalam ucapannya ini mengajak kita melihat Ramadan dalam perspektif yang lebih besar. Ramadan bukan hanya urusan ibadah khusus tetapi merupakan kunci kepada kekuatan dan kebangkitan ummah dalam menuntut kedudukannya yang hakiki.

Thursday, 17 September 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 28

Menilai kualiti puasa

Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu. Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.

Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut. Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.

Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.

Setelah hampir berakhirnya puasa dan menjelang Aidilfitri, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita. Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.