Menilai kualiti puasa
Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu. Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.
Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut. Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.
Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.
Setelah hampir berakhirnya puasa dan menjelang Aidilfitri, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita. Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.
Thursday, 17 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment