Assalamualaikum

QURANUL KARIM

QURANUL KARIM

Listen to Quran

Wednesday, 16 September 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 27

Jadikan Ramadan inspirasi Syawal

RAMADAN terbukti berfungsi sebagai bulan tarbiyah dan pelaburan kerana di dalamnya terkandung janji Allah SWT berserta gugusan pahala yang berlipat ganda sebagai anugerah buat sekalian hambanya natijah dari perlaksanaan amalan-amalan wajib dan amalan-amalan sunnah yang disyariatkan.
Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan amalan puasa tersebut. (riwayat Muslim)
Allah SWT tidak pernah mengabaikan setiap perlakuan amal soleh setiap hamba-Nya meskipun hanya seberat zarah.
Firman Allah yang bermaksud: Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 7).
Demikian pula sesiapa yang melakukan kejahatan walau seberat zarah, amalannya tetap akan diperlihatkan kepadanya. Firman Allah yang bermaksud: Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 8)

Ramadan al-Mubarak yang berlalu sewajarnya dijadikan inspirasi dalam mempertingkatkan amalan dan menjaga produktivitinya agar mencapai tingkat istiqamah dalam membina jati diri Muslim yang cemerlang selama saki baki umur masih dibekalkan oleh Allah SWT. Syawal yang dirai merupakan proses pertama dalam menilai tingkat penghayatan seseorang sepanjang Ramadan, adakah dia mencapai objektif yang dicita-citakan memperolehi keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat? Apakah keintiman hubungan dengan Allah semakin dirasai dan bertambah kukuh? Apakah tali silaturrahim sesama Muslim terjalin erat dalam usaha mentaati perintah Allah SWT dan mencari keredaannya? Apakah segala amalan yang pernah dilakukan pada saat Ramadan mampu dipraktik untuk kesekian kalinya?

Hari raya adalah satu peluang yang cukup besar dan bermakna untuk meningkatkan kualiti amalan, memulihkan hubungan sesama manusia yang merupakan tuntutan syariat Islam, berlapang dada, murah hati, ukhuwah, belas kasihan dan kasih sayang.

Daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tingkatkanlah amalanmu dengan baik, atau lebih dekatlah kepada kebaikan, dan bergembiralah, kerana amalan seseorang itu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Para sahabat bertanya, "Adakah amalanmu juga begitu, wahai Rasulullah"? Jawab Rasulullah SAW: "Amalanku juga begitu. Tetapi Allah melimpahiku dengan rahmat-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment