Usahakan Ramadan yang terbaik
Soalan: Bagaimana puasa menjadikan kita bertakwa?
Jawapan: Dalam surah al-Baqarah ayat 183 itu telah dijelaskan bahawa puasa itu bukan hanya diperintahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Sebaliknya, perintah berpuasa yang menjadi ibadat asas itu sudah ada kepada umat-umat nabi terdahulu.
Tujuan puasa itu adalah menjadikan kita bertakwa. Tetapi bagi mencapai tahap takwa itu Allah telah gariskan bahawa ia memerlukan kepada iman dan amal soleh.
Maknanya, apabila seseorang itu beriman pasti dia akan beramal soleh dan barulah dia akan mencapai kejayaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya. (al-Baqarah: 5)
Sebab itu, dalam berpuasa misalnya, untuk menjadikan kita bertakwa, hendaklah kita mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan, menjauhi segala perkara yang bukan sahaja membatalkan puasa tetapi juga yang mengurangkan pahala berpuasa.
Jika kita mahu memartabatkan agama, kita perlu cemerlang di dunia dan akhirat. Kalau kita tidak cemerlang, Islam pun tidak hebat.
Sebabnya di dalam Islam, konsep cemerlang bagi orang beriman itu merangkumi di dunia dan akhirat. Kita tidak mahu umat Islam hanya hebat dan cemerlang di dunia sahaja.
Soalan: Ada yang suka sambut Ramadan tetapi ramai juga yang 'tidak suka'. Apakah sikap yang sepatutnya bagi umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadan?
Jawapan: Kita yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah meyakini kepada konsep usaha dan tawakal. Maknanya, kita perlu berusaha dan berikhtiar bagi mencapai sesuatu perkara yang baik itu.
Kalau nak sihat, kita kena usaha dengan menjaga kesihatan. Kalau nak maju dalam kerjaya, kita kena usaha seperti melakukan tugas dengan efisien, menepati batas waktu yang ditetapkan dan sebagainya.
Demikian juga dengan rohani. Jika kita nak rohani atau jiwa kita itu baik, tidak boleh tidak kita mesti memulakan usaha ke arah itu. Indahnya Islam ini, Allah telah menolong kita mencapainya dengan menetapkan perintah solat dan puasa. Apa yang perlu kita buat adalah laksanakan sahaja perintah itu.
Puasa itu memang ada kesusahan dan rintangannya tetapi kejayaan bagi mereka yang berpuasa dengan ikhlas itu adalah dijamin oleh Allah. Bukannya manusia yang jamin.
Dari segi fizikal pun, para doktor akui bahawa puasa itu baik untuk kesihatan. Ia sebagaimana kata hikmah yang berbunyi: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat".
Buat apa banyak duit kalau tidak sihat. Ibadat puasa ini sebenarnya memberi kekuatan bagi kecapi untuk kecapi nikmat hidup di dunia.
Soalan: Ada umat Islam yang puasa tetapi masih tidak solat, tidak tutup aurat atau masih terus melakukan maksiat. Apa status puasa golongan begini?
Jawapan: Seperti yang disebutkan tadi, puasa itu adalah ibadat yang digandingkan di dalamnya iman dan amal soleh.
Orang beriman, sedar bahawa puasa itu adalah perintah Allah. Justeru akan dilaksanakan dengan penuh taat di samping merasai status diri sebagai hamba Allah.
Ini mungkin juga akibat kekeliruan umat Islam dari sudut status amalan antara ibadat dan adat. Apabila keliru, mungkin ada sebahagian umat Islam yang beranggapan bahawa puasa itu hanyalah adat.
Bagi mereka yang tahu bahawa puasa itu ibadat, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki prestasi. Sebabnya, Allah akan menilai puasa hamba-Nya.
Rasulullah SAW mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah bagi Allah berhajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya. (riwayat Bukhari)
Ada juga sebahagian kita yang tersilap dalam meletakkan aulawiyat (keutamaan). Puasa adalah fardu ain maka sudah sewajarnya ia diberi keutamaan berbanding amalan sunat yang lain.
Soalan: Bagaimana mencapai tahap puasa khawasil khawas (puasa paling khas)?
Jawapan: Puasa itu pun ada tahap-tahapnya. Yang paling rendah ialah puasa orang awam. Puasa begini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.
Tingkatan kedua adalah puasa orang khas. Puasa di sini akan cuba menjaga akhlak dan melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya.
Tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah.
Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai oleh setiap Muslim.
Antara akhlak bagi mencapai tahap ini ialah menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap dengan perkara yang keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil. (riwayat Bukhari)
Kita perlu mengambil perhatian dalam hal ini supaya puasa kita benar-benar berkualiti dan mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Jangan nanti kita di akhirat kelak menyesal kerana puasa kita hanya sia-sia lantaran tidak mencapai standard yang ditetapkan. Inilah amaran kepada golongan yang leka dan lalai dalam puasa mereka. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. (riwayat Bukhari)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment