Assalamualaikum

QURANUL KARIM

QURANUL KARIM

Listen to Quran

Thursday, 3 September 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 11

Puasa didik rohani jauhi sifat keji

Sikap bermurah hati pada Ramadan pula sangat terpuji, seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insaan, yang bermaksud: "Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera."

Orang melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai apabila melihat orang lain bahagia dengan apa diperoleh.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu sedikit pun." Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji, atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri. Orang yang ikhlas dalam menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.

Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah SWT sebagai amal ibadah dan sedekah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seutama-utama sedekah adalah pada Ramadan."

No comments:

Post a Comment