Ghazwah Badar al-Kubra
Setelah membincangkan tentang Nuzul Al-Quran pada siri yang lepas, marilah kita renung satu lagi peristiwa penting dalam bulan Ramadhan. Jika al-Quran turut dinamakan al-Furqan kerana penurunan al-Quran memisahkan antara yang hak dan batil, pertempuran Badar pula dinamakan Yaum al-Furqan yang bermaksud Hari Pemisah antara Hak dan Batil. Sebabnya, inilah hari yang menentukan sama ada kebenaran yang akan tertegak atau pun kebatilan.
Allah memberi perhatian yang besar kepada peristiwa Badar sebagaimana firman-Nya: Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada 'Hari Al Furqaan', iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 41).
Sejarah mencatatkan Ghazwah Badar al-Kubra berlaku pada Jumaat, 17 Ramadan tahun 2 Hijrah. Ia adalah peperangan paling besar dan penting bagi umat Islam kerana ia peperangan yang menentukan masa depan umat Islam, bahkan masa depan umat manusia seluruhnya.
Justeru, seluruh umat Islam terhutang budi dengan pahlawan-pahlawan Islam Badar kerana tanpa semangat juang mereka yang tinggi demi mempertahankan agama Islam yang suci, pengorbanan dan kekuatan tawakal mereka kepada Allah, sudah pasti kita tidak dapat menikmati Islam seperti yang kita kecapi pada hari ini.
Jika dibandingkan bilangan tentera Muslimin ketika itu yang hanya seramai 313 dan kelengkapan perang mereka yang tidak mencukupi dengan bilangan tentera musyrikin yang melebihi 1,000 orang lengkap dengan peralatan perang, mustahil pada akal umat Islam beroleh kemenangan gilang gemilang seperti yang dikecapi oleh umat Islam dalam peperangan Badar.
Namun, Allah telah merakamkan kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar melalui firman-Nya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (ali-'Imran: 123-127)
Ini memberitahu kita bahawa faktor fizikal atau kuantiti bukanlah modal utama bagi suatu kejayaan tetapi faktor dalaman atau kualiti yang lebih utama dan berkesan. Sifat tawaduk, yakin dengan Allah dan tawakal yang dimiliki oleh tentera Islam telah menarik pandangan Allah hingga Allah menghantar pertolongan-Nya melalui malaikat-malaikat yang diutuskan. Sifat bongkak, takbur dan menganggap kejayaan itu datang daripada diri sendiri yang dimiliki oleh kaum Quraisy adalah modal utama bagi suatu kegagalan dan kekecewaan.
Jasa dan bakti yang begitu besar para satria Badar demi memperjuangkan kemerdekaan agama perlu kita kenang dan uar-uarkan. Bukan kerana mereka memerlukan kita kerana mereka telah pun mendapat kedudukan yang tinggi sebagai syahid di sisi Allah dan dijanjikan dengan syurga Firdaus. Tetapi kitalah yang perlu mengambil formula dan keberkatan daripada mereka bagi mendapatkan jiwa yang waja dan thabat (tetap) seperti mereka dalam mencintai dan mempertahankan agama Allah.
Hanya dengan sedikit cubaan dan fitnah, kita terus rebah meninggalkan medan perjuangan dan dakwah, lesu untuk berkorban, malah terjebak dalam tipuan dunia dan perangkap musuh. Justeru, insafilah diri kita pada Ramadan kali ini. Adilkah kita mencaci dan mencerca mereka sebagaimana yang dilakukan oleh pengikut fahaman Syiah Rafidhah yang melakukan perbuatan mencaci para sahabat nabi SAW. Jika kita berada di tempat mereka ketika itu, apakah kita sanggup berdepan dengan tentera musuh yang terdiri daripada panglima-panglima tentera yang bengis dan hebat? Wallahu 'Alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment