Mendalami ilmu jaminan ibadat puasa sempurna, tepati syariat
SEMENTARA umat Islam berdoa dan berpuasa sunat pada Syaaban sebagai penghormatan dan pengharapan kedatangan Ramadan, mereka perlu juga menyambut kedatangannya dengan ilmu. Mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan bagaimana mengerjakan ibadat puasa dengan betul mengikut syariat, menunaikan zakat fitrah dengan sempurna dan beramal dengan amalan sunat ketika berada pada bulan Ramadan. Hanya dengan ilmu segala ibadat dapat dikerjakan sempurna dan Insya-Allah diterima Allah. Di samping itu, jika seorang Muslim menunaikan fardu puasa dengan didasari ilmu pengetahuan, ketakwaan dan keikhlasan, puasa dikerjakan adalah puasa yang dikategorikan sebagai ibadat.
Justeru, kita dapati ramai orang yang puasa tidak menepati konsep ibadah sebenar kerana menganggap bulan Ramadan hanya bulan adat dan budaya. Puasa dikira sebagai sambutan ritual semata-mata. Akhirnya puasa mereka hanya puasa adat dan bukan ibadat. Jika bakal haji diberikan kursus secukupnya oleh pihak tertentu seperti Lembaga Tabung Haji untuk pengetahuan dan pendedahan mengenai urusan haji, kenapa tidak dalam menghadapi fardu puasa diberikan pengetahuan berkaitan puasa oleh pihak jawatankuasa surau, masjid dan institusi. Ini penting kerana ilmu diperlukan untuk memantapkan ibadah puasa pada Ramadan. Bagaimanapun, di negara ini kebanyakan kuliah atau majlis ilmu berkaitan puasa diadakan ketika Ramadan.
Tidak menjadi kesalahan mengadakannya sebelum atau ketika Ramadan, cuma barangkali ada antara kita umat Islam lupa mengenai puasa kerana sudah meninggalkan Ramadan 11 bulan lalu. Justeru, kita perlu menggilap semula pengetahuan mengenai puasa supaya puasa kita benar-benar menepati kehendak syariat. Tambahan pula, kita boleh ibaratkan persiapan ilmu itu seperti persiapan seorang tentera yang akan berjuang di medan perang. Lebih elok jika bersiap sedia sebelum hari pertempuran. Bagaimanapun kita mengalu-alukan jika persediaan dilakukan sebelum dan ketika menunaikan ibadah puasa. Umat Islam perlu mengulang kaji sekurang-kurangnya dua aspek, iaitu puasa dari sudut fikah dan akhlak. Puasa dari segi fikah ialah perkara dan persoalan mengenai puasa seperti terkandung dalam buku fikah. Sementara dari segi akhlak, Imam Ghazali menyebut dalam buku Bimbingan Mukminin sebagai kewajipan puasa batiniah. Beliau menyenaraikan enam perkara perlu diketahui dan dijaga oleh orang berpuasa antaranya menjaga dan mengelak mata melihat perkara melalaikan ingatan kepada Allah.
Selalunya umat Islam boleh memahami dan mengikuti peraturan serta ketetapan puasa daripada segi fikah. Namun ada kalanya kita tidak dapat menyelami persoalan puasa dari sudut akhlaknya. Memang puasa itu sah tetapi bimbang tidak mendapat habuan setimpal kecuali lapar, dahaga dan penat. Ramadan perlu diberi liputan yang banyak supaya umat Islam merasa rindu bertemu dengan bulan barakah itu. Kita bimbang apabila sambutan hari lebaran lebih dimeriahkan akhirnya nanti mereka lebih rindu bertemu Syawal untuk menyambut hari raya. Mereka lebih ghairah berhari raya daripada berpuasa walaupun mereka masih berada di bulan Syaaban. Dengan erti kata lain, mereka akan bersiap untuk menyambut hari raya sedangkan Ramadan belum menjelang dan mereka pun tidak pasti akan menemui bulan Ramadan dan Syawal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment