Ramadhan Bulan Turunnya Al-Quran
KITA sekarang berada pada fasa terakhir Ramadan yang mana di dalamnya terkandung malam al-qadar. Malam paling istimewa di mana mereka yang beribadat pada malam ini akan diberi ganjaran pahala 1,000 bulan atau 84 tahun.
Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)
Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya: Dan sesiapa yang bangun mendirikan lailatul qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (riwayat Bukhari)
Soalan: Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ramai juga yang membacanya pada bulan mulia ini tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar daripadanya. Mengapa berlaku demikian?
Jawapan: Memang Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan salah. (al-Baqarah: 185)
Mengapa ada yang tidak mengambil iktibar daripada ayat-ayat Allah ini sebab utamanya adalah kerana kita tidak memahami al-Quran. Oleh yang demikian, kita tidak dapat menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya. Seterusnya, menyebabkan kita gagal menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.
Sejarah membuktikan bagaimana seorang yang digelar 'singa' seperti Saidina Omar al-Khattab yang pada zaman jahiliahnya sangat garang dan membenci Rasulullah SAW akhirnya menjadi insan yang hebat imannya selepas mendapat hidayah Allah menerusi ayat daripada surah Taha.
Bagi kita yang bukan Arab, hendaklah kita berusaha mempelajari al-Quran melalui pengajian-pengajian ilmu tafsir. Ini bukanlah terlalu sukar dilakukan kerana banyak institusi di negara kita sama ada masjid, surau atau juga pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan kuliah atau pengajian ilmu tafsir.
Satu lagi punca berlaku begini ialah kebanyakan kita hanya mempelajari al-Quran secara tradisi. Maknanya kita mula mengaji semasa kecil dan cukup setakat khatam al-Quran sahaja. Sepatutnya pencarian ilmu itu tidak terhenti di situ.
Sebaliknya, selepas belajar mengaji kita meningkatkan ilmu dengan mempelajari ilmu tajwid dan qiraat. Apabila dewasa diteruskan dengan pengajian ilmu tafsir.
Soalan: Sebagai kitab yang memberi petunjuk seharusnya sikap kita kepada al-Quran adalah sama iaitu membaca, menghayati dan mengamalkannya. Sebaliknya, wujud perbezaan pendirian dalam hal ini. Mengapa ini berlaku?
Jawapan: Tidak semua di kalangan manusia yang beragama Islam memiliki cita rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada yang bersederhana dan ada yang berlumba-lumba berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar. (Faatir: 32)
Ayat ini menggambarkan tiga kelompok manusia yang berbeza pendirian terhadap al-Quran:
a) Golongan yang menganiaya diri sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan. Sebabnya, mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi beramal dengan perintah Allah di dalamnya.
b) Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala. Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia melaksanakan isi kandungannya yang terdiri daripada hukum hakam Allah.
c) Golongan yang berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mereka amat banyak melakukan kebaikan dan jarang membuat kesalahan. Mereka adalah golongan yang bersedia melaksanakan hukum Allah dalam al-Quran.
Seorang ulama terkenal, Muhammad Syakib Arslan berkata beberapa sebab yang membawa kemunduran umat Islam antaranya adalah kejahilan tetapi boleh diajar dan dibentuk.
Kedua, mempunyai ilmu tetapi tidak sempurna. Ini lebih bahaya daripada orang jahil yang lebih mudah diajar. Ketiga, rosak akhlak menyebabkan piawaian hidupnya adalah kebendaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment