Assalamualaikum

QURANUL KARIM

QURANUL KARIM

Listen to Quran

Sunday, 6 September 2009

Nuzul al-Quran

Di Malaysia, apabila tiba 17 Ramadan, rata-rata umat Islam mengadakan sambutan sempena Nuzul al-Quran. Mengimbau sejarah penurunan al-Quran, mengingatkan umat Islam tentang keagungan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbesar ini. Sebenarnya Allah SWT berkuasa menurunkan al-Quran tanpa melalui perantaraan sesiapa. Tetapi Allah telah menghendaki al-Quran itu diturunkan melalui perantaraan Jibril a.s untuk disampaikan kepada insan pilihannya, Nabi Muhammad SAW kerana rahsia agung yang terdapat di sebaliknya. Rasulullah SAW pula bukan sahaja berjaya menyampaikan wahyu tersebut dengan sempurna. Baginda SAW mengaplikasi dan mencernakan setiap wahyu tersebut dalam segenap tindakan dan perbuatannya sehinggakan akhlak Baginda dinobatkan sebagai al-Quran.

Justeru, nabi SAW adalah gambaran al-Quran. Menceritakan tentang kebesaran al-Quran bermakna menceritakan tentang keindahan akhlak baginda SAW. Maka tidak wajarlah kita mengadakan sambutan Nuzul Quran tetapi meminggirkan insan pilihan yang menjadi penyebab kita dapat memahami dan menikmati keindahan al-Quran tersebut.

Di antara mukjizat al-Quran adalah Allah SWT sendiri menjamin penjagaan terhadap isi kandungannya hingga kiamat. Sekalipun pelbagai usaha dilakukan untuk mencemarkan dan mengubah kandungannya, al-Quran tetap terpelihara seperti mana yang dapat kita lihat hari ini. Allah berfirman: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya. (al-Hijr :9). Al-Quran disampaikan daripada satu generasi ke satu generasi melalui kaedah yang cukup sistematik, terperinci dan menyeluruh. Kaedah ini dinamakan sebagai sanad atau isnad.

Diriwayatkan daripada Abu Abbas al-Daghuli berkata: Saya mendengar Muhammad ibnu Hatim ibnu al Muzaffar berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan umat ini dan melebihkannya dengan isnad. Tidak seorang pun dari umat-umat terdahulu dan yang akan datang dikurniakan isnad.

"Hanya suhuf (lembaran-lembaran) yang berada di tangan mereka, tetapi Kitab-kitab mereka telah bercampur dengan khabar-khabar mereka. Mereka tidak dapat membezakan di antara kitab Taurat dan Injil yang diturunkan, dan di antara cerita-cerita yang masuk ke dalam kitab mereka yang diambil daripada orang-orang yang tidak dipercayai."

Sebagai agama yang suci, Islam amat menitikberatkan permasalahan sanad dan ijazah sebagai bukit kesahihan serta ketulenan sesuatu riwayat dalam membendung perkara-perkara yang dibawa masuk serta ditokok tambah di dalam agama dari perkara usul dan cabangnya. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya: Wahai orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya. (al-Hujuraat: 6)

Namun, hari ini, ramai umat Islam tidak lagi peka dan faham tentang apa yang dinamakan sanad. Malah, mereka mempersoalkan majlis-majlis bagi menghidupkan konsep sanad dan ijazah dalam periwayatan ilmu. Justeru, memandang pelik dan ganjil terhadap sanad adalah suatu kejahilan. Penyakit yang menimpa umat ini akibat telah tersusuk dengan jarum-jarum para musuh Islam yang sentiasa berusaha keras meruntuhkan keutuhan dan kekebalan agama Allah yang tertinggi ini dengan meruntuhkan kekuatan spiritual dalam Islam yang terhasil dari kesinambungan rantaian ruhiyyah dan keberkatan kepada nabi yang diwarisi oleh para Salafussoleh sejak zaman berzaman.

No comments:

Post a Comment