Aura Ramadan suburkan sedekah
MENJELANG Ramadan, maka antara perkara yang sering diingati oleh umat Islam ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah" (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf…" (at-Taubah: 60), maka sekali lagi, 'sedekah' yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini ialah zakat.
Oleh itu, kita dapat membahagikan amalan sedekah di bulan Ramadan ini kepada dua, iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib (zakat). Sedekah sunat memang sudah menjadi sesuatu yang sebati, khususnya di dalam jati diri masyarakat Melayu-Islam.
Misalnya, jika di kampung-kampung, amalan memberi sedekah walaupun sepiring kuih atau pengat pisang, memang diamalkan sejak turun-temurun. Natijahnya, apabila jiran saling bertukar juadah, maka makin suburlah ukhuwah. Inilah hebatnya aura sedekah.
Namun begitu, arus pemodenan semakin menghakis budaya atau amalan saling bertukar juadah yang berupa sedekah ini. Masyarakat Melayu-Islam yang tinggal di bandar besar, makin sibuk untuk menghulurkan walau sepiring cekodok pisang kepada jiran di sebelah pagar atau jiran yang berkongsi dinding dengannya. Sedangkan, mereka tinggal di rumah teres atau apartmen, yang masing-masing berkongsi dinding, lantai bahkan bumbung. Maka, inilah cabaran kehidupan moden dalam mengekalkan tradisi bersedekah khususnya di bulan Ramadan.
Di samping itu, kita juga seharusnya merebut pahala yang lebih besar dan utama sepanjang Ramadan ini dengan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa. Ironinya, senario ini lebih subur di kawasan bandar dan ia agak asing jika di kampung. Agaknya, inilah pula kelebihan di bandar besar. Pengalaman penulis sendiri saat belajar sehingga berkerja di Kuala Lumpur, sempat beberapa kali berbuka puasa secara percuma di beberapa buah masjid beramai-ramai dan ia amat meriah.
Masjid-masjid ini pasti telah mendapat tajaan daripada individu mahu pun syarikat umat Islam yang pemurah, sehingga mereka mampu menyediakan makanan kepada umat Islam dalam jumlah yang besar setiap hari. Dalam menegaskan hal keutamaan memberi makan orang berbuka puasa ini, Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan beroleh pahala seperti mana pahala orang yang berpuasa itu tanpa pahala orang itu dikurangi sedikit pun," (riwayat Ahmad, an-Nasai, Termizi, Ibn Majah dan Darimi dan disahihkan oleh al-Albani)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment